Sunday, January 9, 2011

Kebenaran Azab Kubur Berdasarkan al-Quran & Hadith

Alam Barzakh


Barzakh bermaksud rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup di alam barzakh.


Alam ini berada di antara mati dan bangkit daripada mati. Apabila berada di dalam kubur, kita akan disoal oleh dua malaikat yang bernama Munkar dan Nakir mengenai amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia.
Barzakh dari sudut istilah pula ialah pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup.


Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari Kiamat. Beberapa Ayat al-Quran Yang Menyatakan Azab Kubur


Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta” (Surah Taha: 124)


Menurut Abu Sa‘id al-Khudri dan Abdullah bin Mas‘ud Radhdiallahu ‘anhum perkataan اكنض (yang sempit) adalah azab kubur. Inilah pendapat yang shahih.


“Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46)


Sebahagian ulama’ menjadikan ayat di atas sebagai dalil sabitnya azab kubur. Pendapat ini disepakati oleh Mujahid, ‘Akramah, Muqatil dan Muhammad bin Ka‘ab. Ayat di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa azab kubur itu berlaku di alam barzakh. (Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, al-Qurtubi: 8/4415-4416)
Imam Ibn Kathir ad-Dimsyaqi menyatakan bahawa Ahli Sunnah menjadikan ayat di atas sebagai dalil yang kukuh berlakunya azab kubur di alam barzakh.


“Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain daripada azab yang tersebut”. (Surah At-Thuur: 47)


Al-Qurtubi menjelaskan dalam tafsirnya bahawa azab itu adalah azab kubur. (At-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirat: 152 & Al-Qurtubi: 9/4786).


“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian) kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)”. Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Kiamat)! (Surah at-Takathur: 1-3)


Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa surah ini mengandungi perkataan-perkataan tentang azab kubur. Oleh itu beriman dengannya adalah wajib. Inilah pegangan ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. (At-Tazkirah: 152 & al-Qurtubi: 10/5540-5541) Beberapa Hadis-Hadis Yang Menunjukkan Sabitnya Azab Kubur
Daripada riwayat Abi Ayyub katanya:Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis riwayat Muslim dan al-Bukhari)


Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma: Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Dalam riwayat Imam Muslim: Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis riwayat Muslim)


Maka jelas daripada segala ayat al-Quran dan hadis yang shahih di atas bahawa azab kubur adalah benar dan sekalian umat Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya pula adalah ditakuti rosak akidahnya.

Dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah dan Pendidikan, Masjid Negeri Sabah.


 Apakah ini wajah kita di kemudian hari???


 Remaja ini berusia 18 tahun kelihatan seperti sudah tua selepas 3 jam digali semula atas tuntutan bapanya yang tidak puas hati...
akhirnya kuasa Allah menunjukkan azab ini kepada manusia yang bernyawa..



Ibarat dipukul dengan besi!! pengakuan bapanya..remaja ini selalu meninggalkan sembahyang..nauzubillah..

Duit??????? Ada apa dengan DUIT!!!

DUIT, di zaman materialistik sekarang ini, semua orang mahukan duit. Orang dewasa, remaja bahkan kanak-kanak kecil sekalipun kenal dengan sekeping kertas yang diberi nama “duit”. Memang duit penting dalam kehidupan, tanpa alat tukar ini kita tidak boleh memenuhi keperluan hidup. Duit membuatkan manusia melakukan perkara yang diharamkan, manusia menjadi rakus kerana duit, manusia pecah amanah, rasuah, merompak, melacur malah membunuh manusia lain kerana duit. Kejayaan orang di zaman kini juga diukur dengan banyaknya duitnya.

Tetapi walau bagaimana pentingnya duit, masih ada benda yang tidak boleh dibeli dengan duit.

1. Masa

Duit tidak akan dapat mengembalikan masa yang telah berlalu. Setelah hari berganti, maka masa 24jam tersebut akan hilang dan tidak akan mungkin akan kembali lagi. Oleh itu gunakan setiap kesempatan yang ada untuk menyatakan perhatian dan kasih sayang anda kepada orang yang sangat anda sayang dan anda cintai, sebelum waktu itu berlalu dan anda menyesalinya.Begitu juga dengan tanggungjawab dengan Allah, jika kita terlepas waktu Subuh pagi tadi, ia tidak dapat ditukar dengan berapa juta pun wang untuk kembali ke waktu Subuh tadi.


2. Kebahagiaan

Memang kedengaran pelik, tapi inilah kenyataannya. Duit memang boleh membuat anda merasa senang kerana anda boleh bercuti mewah, memberi laptop dengan kemudahan yang sangat canggih, atau membeli kereta dan rumah mewah 8 tingkat sekalipun. Tetapi duit tidak boleh menghadirkan sececah kebahagiaan dari dalam lubuk hati kita. Berapa ramai orang kaya yang tidak boleh tidur walaupun dalam aircond yang sejuk dan dalam bilik yang super mewah yang katilnya berharga berpuluh ribu ringgit.

3. Kebahagiaan Anak

Untuk membeli makanana dan pakaian yang bagus-bagus untuk anak tercinta memang memerlukan duit. Tetapi anda tidak boleh menggunakan wang untuk memberikan rasa aman, tanggungjawab, sikap yang baik serta kepandaian pada anak anda. Hal ini memerlukan waktu dan perhatian yang anda curahkan untuk mereka dan amalan baik yang anda ajarkan. Duit memang membantu kita memenuhi aspek penjagaan, tapi waktu telah membuktikan bahawa keperluan asas tiap anak adalah berapa banyak masa yang diberikan orangtuanya, bukan “duitnya”.

4. Cinta

Cinta tidak boleh dibeli dengan wang, akuilah hal ini benar. Memang dengan duit kita boleh membuat orang tertarik, tapi cinta berasal dari rasa saling menghargai, perhatian, berbagi pengalaman dan kesempatan untuk berkembang bersama. Itu sebabnya banyak pasangan yang berkahwin kerana duit, tidak bertahan lama atau pun tidak merasa bahagia.

5. Persahabatan

Untuk diterima oleh lingkungan pergaulan dengan sahabat, anda tak perlu duit. Apabila anda ingin diterima, fokuskan tenaga anda untuk membuat diri anda berharga bagi lingkungan sekitar dengan menjadi teman dalam suka dan duka.

6. Kesihatan

Kita memerlukan duit untuk membiayai rawatan dan membeli ubat, tapi duit tidak boleh menggantikan kesihatan yang hilang. Itu sebabnya pepatah lebih baik mencegah daripada mengubati .

7. Kejayaan

Beberapa orang memang ada yang mencapai kejayaan dengan menyogok, tapi ini adalah pengecualian. Kejayaan hanya berasal dari kerja keras, kemahuan, dan rezeki yang tertulis. Ada aspek kecil dari usaha menuju sukses yang boleh didapatkan dengan duit, misalnya mengikuti kursus atau membeli peralatan, tapi kejayaan lebih banyak berasal dari usaha yang anda lakukan sendiri.

8. Bakat

Kita dilahirkan dengan bakat tertentu. Dengan duit, yang boleh kita lakukan adalah mengasah bakat tersebut, misalnya belajar muzik. Namun para pakar mengatakan, untuk menjadi pakar di bidangnya, kita memerlukan bakat semulajadi.

9. Sikap yang baik

Banyak orang yang kaya raya tapi sikapnya kasar,sombong dan cakap besar. Tak sedikit juga orang yang sederhana yang tutur katanya sopan dan menunjukkan rasa hormat pada orang lain. Jadi, jumlah duit yang dimiliki bukan penentu sikap seseorang.

10. Kedamaian

Bila wang boleh membeli kedamaian, barangkali kita tak lagi mendengar tentang perang. Tetapi yang sering terjadi sebaliknya, duitlah yang menjadi sumber pertikaian dan permusuhan.

Apakah ia menjamin kebahgian rumahtangga??persahabatan??atau keselamatan??

KORBANKAN USIA MUDAMU DEMI ISLAM

“Andai Islam diumpamakan seperti bangunan usang yang hampir roboh, maka akan aku berjalan ke seluruh pelusuk dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan banyaknya bilangan mereka, tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku membina kembali bangunan yang usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah…”- Imam Hasan Al-Banna

Generasi muda adalah penguat kekuatan Islam. Tidak sama kekuatan tenaga mereka berbanding tahap umur kanak-kanak dan golongan tua. Setiap pertengahan umur adalah marhalah kekuatan yang ada pada jiwa muda untuk bangkit menyeru kebenaran dari sebarang perkara yang menjurus kepada kemaksiatan dan dosa. 

Hakikatnya, fitrah kelahiran manusia berbeza dari segi pemikiran, tabiat dan kecenderungan serta matlamat mereka. Maka, sepatutnya ‘golongan muda’ yang masih menjalar darah panasnya menjadi penyambung kepada perjuangan ini tanpa mengharapkan balasan dunia, sebaliknya mereka yang ikhlas dalam perjuangan tidak akan membebankan dirinya dengan memikirkan tentang tersebut.

Bila kita bergelar da’ie, kita wajib sedar bahawa jiwa kita tidak boleh lama menjadi remaja dan hidup dengan keseronokan. Seperti hikmah dari kata Imam Hasan Al-Banna, “Tanggungjawab melebihi masa yang ada dan tarbiah yang bersalutkan ilmu dan cabaran dapat mendewasakan engkau. Tetapi cukupkah sekadar menerima tarbiah? Sampaikanlah kepada yang lain. Bangunlah wahai syabab. Sedarlah wahai fata. Kalian bukan memulakan perjuangan, tetapi kalian adalah mata-mata yang menyambung rantai perjuangan…”



 Misi dakwah Islamiah bukanlah satu perbicaraan yang kosong atau sebuah utopia, tetapi ia suatu taklifan yang perlu ditanggung di atas pundak setiap yang bergelar manusia sehingga semboyan dakwah menjalar di seantero dunia. Sesungguhnya tugas dakwah bukan hanya dimonopoli oleh individu tertentu atau hak perseorangan, tetapi ia adalah tanggungjawab dan seruan kepada semua. 

Contoh tauladan yang dikaitkan dengan pengorbanan ‘pemuda’ menegakkan kebenaran dan yang membawa risalah ialah; 

1.    Nabi Ibrahim a.s

Kekuatan semangat dari kisah Nabi Ibrahim yang berani menghancurkan berhala-berhala dan pandai bermain dengan ‘politik pemikiran’, di mana baginda meletakkan kapak di sisi berhala yang paling besar untuk memperdayakan kaumnya, sedangkan umur baginda ketika itu muda dan remaja

“Mereka yang lain berkata, “Kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-berhala ini) namanya Ibrahim”. – al-Anbia’: 60

2.    Nabi Ismail a.s

Pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup disembelih oleh ayahandanya Nabi Ibrahim dengan arahan Allah Taala, malah baginda Ismail tidak memikirkan arahan tersebut kerana itu datang dari Allah Taala. Namun, setelah nyata kesabaran dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s, maka Allah melarang menyembelih Nabi Ismail. Bahkan, Allah menggantikannya dengan seekor sembelihan (kambing) untuk meneruskan korban. Hikmah peristiwa tersebut, ia menjadi dasar disyariatkan mengorbankan sembelihan pada Hari Raya Haji bagi umat Islam. 

“Maka, ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar”. – As-Saffat: 102

3.    Nabi Yusuf a.s

Kisah Nabi Yusof a.s yang bersedia menjalankan tanggungjawab dakwah Islam walaupun terpaksa berperang dengan dua mehnah iaitu; cabaran keduniaan, yang mana jika baginda menolak ajakan nafsu Zulaikha, maka Nabi Yusof akan dipenjarakan dan dipandang hina oleh masyarakat. 

“Dia (Zulaikha, isteri Al-Aziz) berkata: “Itulah orangnya (Yusuf) yang menyebabkan kamu mencela aku kerana (aku tertarik) kepadanya, dan sungguh, aku telah menggoda untuk menundukkan dirinya tetapi dia menolak. Jika dia tidak melakukan apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan, dan dia akan menjadi orang yang hina”. – Yusuf:32

Juga, cabaran agama, di mana tidak layak bagi pesuruh Allah melakukan kemaksiatan. 

“….Demikianlah, Kami palingkan darinya (Yusuf) keburukan dan kekejian. Sungguh, Dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih”. – Yusuf: 24

Sedangkan, Nabi Yusuf a.s masih berdarah muda dan menghadapi godaan yang besar sehingga jika dia tidak dikuatkan dengan keimanan kepada Allah Taala, tentu dia akan terjebak ke dalam kemaksiatan. Sebaliknya, baginda tidak lemah dan tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan dan akhirnya baginda memilih penjara sebagai ‘pengorbanan’ diri dari terjerumus dalam fitnah dengan menggadaikan kehidupan dunianya untuk memilih keredhaan Allah.

4.    Ashabul Kahfi

Pengajaran daripada kisah Ashabul Kahfi iaitu sekumpulan pemuda yang lari daripada kejahilan dan penyelewengan agama.  “Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri (bangun dan menghadap Raja Dikyanus yang zalim dan sombong) lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran”. – al-Kahfi: 13-14

IKHLAS KORBANKAN JIWA RAGA

Zuhair bin Abu Salma dalam bait syairnya: “Sesiapa yang tidak menghunuskan pedangnya, nescaya ia akan dihancurkan. Dan sesiapa yang tidak mampu menguasai manusia, maka dia akan dikuasai’. Dengan maksud, bertindak dengan menggunakan akal tanpa permusuhan dan kezaliman. Bahkan, menguasai manusia dengan ideologi dan tarbiah Islam tanpa ada deskriminasi pelbagai pihak.

“Maka, mengapa tidak ada di antara umat-umat sebelum kamu (Muhammad) orang yang mempunyai keutamaan yang (melarang) berbuat kerosakan di bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang yang telah kami selamatkan. Dan orang-orang yang zalim akan mementingkan kenikmatan dan kemewahan. Dan mereka adalah orang-orang yang berdosa”. – Hud: 116

Suratannya, kehidupan dunia ini tidak akan dipimpin oleh kebenaran, bahkan segala kebaikan tidak akan berkembang, kalimah keadilan hanya pada slogan dan tidak pula akan dipertahan oleh pemikir keduniaan kerana mereka menggadai prinsip perjuangan dan yang bekerja semata-mata inginkan habuan keduniaan. Natijahnya, panji-panji kemuliaan Islam tidak akan berkibar kerana lahirnya manusia yang melihat kemegahan di mata, orang-orang yang riak bekerja mengharapkan orang melihat kepadanya, dan mendengarnya serta membicarakan tentang dirinya tanpa memikirkan masa depan Islam yang universal dengan ikhlas. Janganlah kita menghiraukan redha manusia sedangkan Allah Taala memurkainya. Sebaliknya, orang yang benar akan memperoleh kebaikan serta kemenangan di tangan orang yang benar-benar ikhlas, bahkan akur dengan prinsip dan berupaya mempengaruhi orang lain iaitu dengan memerangi semua keburukan dan kemungkaran, menggalakkan kebaikan dengan fikrah Islamiah tanpa terpengaruh dengan fenomena umum. “Dan (juga) orang-orang yang menginfakkan hartanya kerana riak kepada orang lain (ingin dilihat dan dipuji), dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai temannya, maka (ketahuilah) dia (syaitan itu) adalah teman yang sangat jahat”. – an-Nisa’: 38

Empat kewajipan ke atas pemuda Muslim:

1.    Memahami Islam secara sahih dan betul 2.    Beramal dengan ilmu 3.    Wajib berdakwah menuju kepada Islam (Allah) 4.    Wajib bersangkutan/ berhubung terhadap Islam. Bukan semata-mata amal fardhiah, tetapi juga amal ijma’i dengan maksud membantu dan berhubung antara satu sama lain.\

Sesungguhnya, wajib kepada pemuda Muslim memahami kewajipan mereka hari ini kerana kekuatan dan kebangkitan Islam akan terserlah jika generasi muda menyahut cabaran dan sanggup mengorbankan jiwa raga mereka menjelajah dunia dakwah Islamiah, hatta gerakan Islam sekalipun.

“….Pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu….” – al-Ma’idah: 3